Rabu, 13 Januari 2010

Wahai Umat Islam... Fahami Fitrah Kejadian Kita Semua.... Usah Angkuh...

Salam sejahtera ke atas tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah s.w.t....

Pada kali ini saya akan mengupas isu yang sedang hangat sejak kebelakangan ini. Mengapa harus meledakkan perasaan benci dan dendam yang melulu....? Sedarkah anda wahai umat Islam bahawa tidak menjadi satu kesalahan sekiranya agama kristian menggunakan perkataan "ALLAH".. Sedarkah kita bahawasanya manusia itu diciptakan oleh Allah s.w.t tidak mengira perbezaan bangsa dan agama... Tiada tuhan lain yang layak menciptakan manusia melainkan Allah s.w.t.. Jadi mengapa kita sebagai umat Islam yang menjadikan ISLAM sebagai Ad-din yang terpuji dan mulia di sisi Allah s.w.t. melarang agama kristian menggunakan perkataan "ALLAH"?

Sedar ataupun tidak, sebenarnya pemimpin gereja terutama sekali dari aliran Roman Catholic sudah mula menyedari hakikat bahawa ALLAH s.w.t. adalah satu-satunya Tuhan. Yang menciptakan alam semesta dan seluruh isinya, Yang Maha Esa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang... Tuhan yang layak disembah dan dipuja setiap masa..... Sebenarnya, apabila ini berlaku ramai di kalangan penganut agama kristian akan membuat perbandingan dan pertimbangan agama mana yang harus dianuti dan diamalkan cara hidupnya.

Inilah salah satu "Dakwah Bil Hikmah" yang patut kita syukuri, pelihara dan amalkan.. Perbuatan merosakkan gereja bukanlah salah satu jalan penyelesaian bagi menangani isu penggunaan perkataan "ALLAH". Bagi umat Islam yang belum faham akan kehendak Islam itu sendiri, adalah lebih baik untuk menginsafi segala bentuk kesalahan dan tafsiran yang negatif.. Kajilah bible sebelum membuat sebarang tindakan yang natijahnya nanti akan membawa kepada pertelingkahan dan perselisihan yang tiada akhirnya.. Amalkan Islam itu terlebih dahulu... Lengkapkan diri dengan ilmu Islam yang mantap, mensyukuri dan menyedari bahawasanya masih banyak amalan Islam yang belum kita amalkan dalam kehidupan... Tidak perlu jauh untuk berfikir... Sempurnakah solat kita?

Rasulullah tidak pernah mengajar umatnya agar mengadakan rusuhan... Rasulullah tidak pernah sekali-kali mengajar umatnya melakukan onar setiap masa.... Rasulullah tidak pernah menyuruh agar orang yang tidak beragama Islam ditindas, dihina, dipinggirkan dan disifatkan sebagai penganut yang harus dipulaukan... Hidayah Allah s.w.t. tidak datang dengan isyarat.. Apabila Allah s.w.t. berkata "Kun Faya Kun" maka tiada perkara yang mustahil akan berlaku dan terjadi... Usah mendabik dada kerana kita seorang Muslim, jangan terlalu besar kepala kerana kita penganut agama yang suci lagi benar. Tetapi senantiasa la menyedari bahawa darjat kita di sisi Allah tetap sama melainkan Iman, Amal dan Taqwa kita kepada-Nya. IKHLAS adalah salah satu sifat yang cukup dituntut oleh Allah s.w.t. dalam apa jua perbuatan dan perlakuan. Ianya tidak dapat digambarkan dengan hujung bibir yang manis apabila diucapkan. Tetapi apa yang paling penting adalah biar la Allah s.w.t. sendiri yang menilai-Nya.

Ingat! Jangan Sombong, Jangan Angkuh... Fikir-fikirkanlah... Allahu 'Alam..